DR MAHATHIR ketika hadir ke IJN, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq
Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my


SERANGAN terhadap anggota bomba oleh perusuh disifatkan mempunyai niat untuk membunuh, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, perbuatan itu jelas dilakukan oleh mereka yang tiada perasaan sehingga boleh mendatangkan maut kepada mangsa.

“Melihat kepada keadaan mangsa, nampak jelas orang yang melakukannya mempunyai niat untuk membunuh.

“Kita boleh ada demonstrasi, tetapi ia perlu berlangsung dengan aman, apa yang berlaku ini bukan demonstrasi, ia satu tindakan untuk membunuh bila mereka datang dengan parang dan sebagainya.

“Kita tidak ada banyak bukti, tetapi polis akan melakukan siasatan rapi untuk mengesan dalang serangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika hadir menziarahi Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera diserang perusuh awal pagi semalam di Institut Jantung Negara (IJN), di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan peguam syarikat pemaju mengupah samseng, Dr Mahathir berkata ia satu perbuatan yang salah untuk mengupah orang melayu menjaga kawasan kuil.

“Mereka ini orang asing, tidak faham budaya kita, tidak boleh buat macam tu.

“Jika kita dapat kesan siapa yang bertanggungjawab saya fikir Peguam Negara dan peguam perlu membina kes terhadapnya,” katanya.

Berhubung permintaan pihak pengurusan kuil meminta campur tangannya, Dr Mahathir berkata beliau akan membuat kenyataan berhubung perkara itu di Parlimen esok.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 6:17 PM