ANTARA contoh iklan palsu berkenaan.
Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@nstp.com.my


LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan, tiada iklan kerja kosong di LHDN seperti yang dipaparkan dalam beberapa laman web, baru-baru ini.

LHDN berkata, pihaknya tidak menggunakan pihak ketiga untuk mengiklankan kekosongan jawatan.

“Sebarang maklumat berkenaan iklan kekosongan jawatan LHDN boleh

dirujuk di menu 'Kerjaya' pada portal rasmi LHDN, www.hasil.gov.my.

“Justeru, LHDN menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah

terpedaya dengan laman sesawang yang memaparkan iklan palsu.

“Kecuaian orang ramai dalam memastikan kesahihan maklumat yang diiklankan boleh menyebabkan mereka mendedahkan maklumat peribadi mereka melalui resume serta butiran diri yang diisi dalam laman sesawang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beberapa laman web menyiarkan iklan jawatan kosong di LHDN, antaranya bagi jawatan Pegawai LHDN Gred 31, Penolong Eksekutif Hasil (Penaksiran) yang mempunyai 300 kekosongan, Penolong Eksekutif Hasil (Perundangan) dan Pembantu Hasil (Percukaian & Operasi).

Iklan permohonan jawatan berkenaan memerlukan pemohon untuk memberikan maklumat peribadi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 2:22 PM