Nur Aqidah Azizi


DATUK Seri Mohamad Hasan memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang memutuskan kemenangannya untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau adalah tidak sah dan batal.

Rayuan ke Mahkamah Persekutuan Putrajaya difailkan pagi hari ini melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Dalam sidang akhbar diadakan di Wisma UMNO di Seremban, Mohamad berkata, keputusan untuk membuat rayuan dibuat selepas mengambil kira alasan penghakiman lisan yang diberikan Hakim Azimah Omar pada 16 November lalu.

“Saya sudah memikirkan sedalam-dalamnya dan berdasarkan nasihat diberikan peguam, saya memutuskan untuk memfailkan rayuan untuk mempertahankan kerusi DUN Rantau.

“Keputusan itu dibuat untuk membebaskan saya daripada sebarang salah laku dakwaan atau salah laku semasa hari penamaan calon PRU Ke-14,” katanya.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya Khas di Seremban memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau batal dan tidak sah.

Ini berikutan petisyen difailkan calon PKR, Dr S Streram pada 23 Mei untuk mencabar pengisytiharan kemenangan Mohamad yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dr Streram, 63, memfailkan petisyen itu selepas beliau tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Dr Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dalam petisyennya, diikuti Pegawai Pilihan Raya, Amino Agus sebagai responden kedua dan SPR sebagai responden ketiga.

Mohamad berkata, rayuan dibuat adalah kesinambungan daripada Notis Rayuan yang difailkan oleh SPR dan Amino semalam.

“Rayuan difailkan demi kepentingan pengundi di kawasan saya dan sebagai langkah terakhir untuk mempertahankan posisi saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 9:59 PM
MOHAMAD (dua dari kanan) pada sidang media di Seremban, hari ini mengenai keputusannya memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen DUN Rantau, Negeri Sembilan. FOTO Hazreen Mohamad.