WANG tunai yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


BERGERAK secara solo dan menjadikan wang tabung masjid sebagai sasaran. Itu dilakukan seorang wanita untuk mencari wang mudah bagi membeli bekalan dadah.

Bagaimanapun, perbuatannya berjaya dihidu ahli jawatankuasa (AJK) sebuah masjid di Butterworth, hari ini ketika dia sedang leka mengambil wang dalam tabung.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian disedari AJK masjid berkenaan yang ketika itu melihat suspek masuk melalui tingkap.

Menurutnya, perbuatan suspek, 29, itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan AJK masjid berkenaan terus menahannya ketika dia mengambil wang sebelum menghubungi polis.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan umpil di tingkap masjid dipercayai laluan yang digunakan oleh suspek untuk masuk.

“Siasatan awal juga mendapati suspek mengaku sudah empat kali menceroboh masjid berkenaan dan mencuri wang tabung,” katanya.

Katanya, polis turut merampas wang tunai RM80 dan saringan ujian air kencing mendapati wanita itu positif dadah methamphetamine selain turut mempunyai rekod jenayah .

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 9:48 PM