Menara TH. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS mengesahkan menerima dua laporan polis yang dibuat Lembaga Tabung Haji (TH) membabitkan dakwaan salah guna kuasa membabitkan pengurusan kanan organisasi itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya membuat kertas siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan.

“Kita (polis) menerima laporan polis daripada TH dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Amar Singh bagaimanapun enggan mengulas sama ada pihaknya akan memanggil individu berkenaan untuk memberi keterangan.

Semalam, TH membuat dua laporan polis membabitkan bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

Selain itu, TH turut menamakan beberapa pengurusan kanan lain seperti Datuk Adi Azuan Abdul Ghani (Ketua Pegawai Operasi), Datuk Rozaida Omar (Ketua Pegawai Kewangan), Hazlina Mohd Khalid (Penasihat Undang-Undang) dan Rifina Md Ariff (Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah).

Dalam kenyataan dikeluarkan TH, laporan polis pertama berkaitan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 apabila dana sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Ia bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

Pemegang amanah YTH ketika itu ialah Abdul Azeez, Ismee, Johan, Adi Azuan dan Rozaida.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 9:03 PM