KETUA Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi menunjukkan gambar lelaki dikenali sebagai Zairol Azwan Zainal, 40, yang diburu selepas dipercayai menyamar sebagai pegawai Kastam untuk memeras ugut dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Batu Tumboh, Kampung Raja, Besut. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


POLIS memburu lelaki yang dipercayai menyamar sebagai pegawai kastam untuk memeras ugut dalam kejadian di kedai runcit di Kampung Batu Tumboh, Kampung Raja, dekat Jertih, Sabtu lalu.

Suspek dikenali sebagai Zairol Azwan Zainal, 40, dari Padang Luas, Jertih, datang ke kedai runcit berkenaan 3.30 petang dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek memaklumkan kepada pemilik kedai berusia 30 tahun kononnya dia mahu memeriksa rokok di kedai berkenaan sambil menunjukkan kad kuasanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit bagaimanapun tidak membenarkan suspek memeriksa premisnya kerana kad yang ditunjukkan suspek tidak mempunyai sebarang perkataan bertulis ‘kastam’ dan mengesyaki suspek hanya menyamar.

“Suspek kemudian beredar meninggalkan premis berkenaan dan mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Zamri berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dengan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 5:01 PM