PETALING JAYA 03 DISEMBER 2018. Antara suspek yang dipercayai terlibat dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, minggu lalu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. NSTP/ SAIRIEN NAFIS
Fazrik Kamarudin


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenalpasti dalang rusuhan kedua yang berlaku pada 27 November di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, yang turut menyebabkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) parah.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PDRM mempunyai maklumat mengenai individu terbabit dan tindakan segera akan diambil.

“Polis sudah ada maklumat, dan mereka yang disyaki sudah diambil tindakan, laporan terkini yang saya terima semakin ramai bilangan yang ditahan dan direman.

“Kita juga terima kerjasama daripada orang ramai untuk membantu siasatan terhadap kes Muhammad Adib. Kita dimaklumkan seorang sudah tampil ke depan, kita akan terus menyiasat sehingga jelas terbukti siapa yang bersalah,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat bulanan Kementerian Dalam Negeri bersama PDRM, di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai senarai 28 individu yang diminta tampil membantu siasatan, Muhyiddin berkata, setakat petang ini masih belum ada yang tampil menyerah diri.

Ketika ditanya mengenai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang akan dipanggil memberi keterangan hari ini, beliau berkata, Waytha Moorthy dipanggil mungkin berkaitan kenyataan yang dibuat berhubung insiden di kuil.

“Polis memaklumkan siasatan akan dibuat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan,” katanya.

Insiden kekecohan pada awal pagi 26 dan 27 November lalu di tapak kuil terbabit menyebabkan seorang anggota polis cedera selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam.

Ia turut menyebabkan parah kepada seorang Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini masih dirawat di Institut Jantung Negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, sehingga 8 pagi tadi, jumlah individu yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam insiden berkenaan adalah seramai 83 orang.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 8:13 PM