GOBIND (tengah) bersama Putri Yasmin (dari kiri), Albern, Kamal dan Ketua Pegawai Kewangan MDEC, Nor Faizah Othman.
Mohd Khairul Anam Md Khairudin

Kuala Lumpur: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan Media Prima Berhad (Media Prima) menjalin kerjasama bagi memperkenalkan hab pembelajaran digital JomStudi, di sini, baru-baru ini.

Hab pembelajaran digital itu akan dilancarkan pada Januari depan, sebagai inisiatif yang diterajui oleh organisasi swasta dan disokong Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

JomStudi menyediakan kandungan pendidikan berkualiti untuk ditawarkan kepada pelajar, terutama bagi mereka yang mendiami kawasan yang kurang mendapat perhatian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, dengan akses yang mudah terhadap kandungan pendidikan berkualiti dalam talian, ia akan menjana pelbagai peluang terutama bagi pelajar yang kurang mendapat perhatian.

Beliau berkata, dengan memperkenalkan hab pembelajaran itu dapat memberikan golongan berkenaan peluang sama rata dengan adanya kemahiran dan pengetahuan yang betul untuk mengharungi masa hadapan berlandaskan digital.

“Saya percaya teknologi digital ialah satu alat yang kita harus gunakan dengan sebaiknya untuk memperkayakan dan mengubah kaedah pembelajaran sedia ada.

“Saya berbesar hati untuk melihat kerjasama seumpama ini daripada Astro, Digi serta Media Prima dan ingin melihat lebih banyak kerjasama sedemikian dijalin antara sektor awam dan swasta dalam kita mengorak langkah ke arah masa hadapan yang lebih baik untuk negara ini,” katanya dalam suatu kenyataan media, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis memperkenalkan hab pembelajaran digital JomStudi, Naib Presiden GenNext, Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif, Digi, Albern Murty, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood.

JomStudi dizahirkan sebagai maklum balas kepada perubahan dalam landskap pembelajaran yang menyaksikan internet berfungsi sebagai alat utama untuk pelajar mendapatkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 9:36 AM