DR Maszlee
Siti Nur Mas Erah Amran
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Tiga akta dibentang untuk pindaan di Dewan Rakyat semalam, bagi membolehkan mahasiswa menyertai aktiviti politik di kampus.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik membentangkan pindaan terhadap Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 untuk bacaan kali pertama.

Katanya, pindaan AUKU dibuat bagi memansuhkan peruntukan Seksyen 15(2)(c).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini semalam, Maszlee berkata, pindaan itu langkah pertama dalam transformasi pendidikan tinggi seiring hasrat kementerian melahirkan graduan holistik, seimbang dan mampu bersaing di mata dunia.

“Ia turut meletak sasaran penggubalan satu akta baharu pendidikan tinggi bagi menggantikan AUKU menjelang 2020.

“Langkah memansuhkan peruntukan itu membabitkan pemansuhan Seksyen 47(2)(c) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(c) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

“Ketika ini, ia terpakai kepada semua universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta dan politeknik, kolej komuniti serta institut perguruan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 9:44 AM