AMBRIN ketika tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, hari ini. Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Mohd Husni Mohd Noor


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, bagi memberi keterangan berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysian Development Berhad (1MDB), esok.

Sumber berkata, beliau dikehendaki hadir pada 11 pagi.

Terdahulu, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang meluangkan masa hampir lapan jam untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes sama.

Ambrin dilihat keluar dari Ibu Pejabat SPRM terbabit, kira-kira jam 9.30 malam ini.

Sebelum itu, Ambrin tiba di Ibu Pejabat SPRM pada 2 petang untuk dirakam keterangan berhubung siasatan dakwaan berkenaan.

Selain Ambrin, turut dipanggil memberi keterangan hari ini adalah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang turut terbabit dalam pindaan itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Shukry Salleh, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Kumpulan 1MDB Arul Kanda.

Turut terbabit adalah wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 10:15 PM