FARID Kamil. FOTO Arkib NSTP
Sarah Zulkifli


JABATAN Peguam Negara menolak representasi yang dikemukakan oleh pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari bagi menggugurkan lima pertuduhan jenayah yang dihadapinya, awal tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran dalam sebutan semula kes itu di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Sebelum ini, representasi Farid Kamil, 37, bagi menggugurkan lima kes jenayah dihadapinya pernah ditolak Jabatan Peguam Negara pada 16 Oktober lalu.

Sehubungan itu, mahkamah mengekalkan perbicaraan untuk lima pertuduhan itu dan prosiding akan berjalan pada tengah hari ini.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid Kamil didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid Kamil dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam sebagai seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.

Sembilan hari kemudian, pada 25 Januari, Farid Kamil turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 11:56 AM