Jadual pembayaran balik PTPTN yang membebankan selain melanggar perjanjian. FOTO BERNAMA
Ahmad Suhael Adnan

KERESAHAN peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap peratusan potongan gaji yang terlalu tinggi akan dibawa ke pengetahuan kerajaan.

Jaminan itu diberi Presiden PKR dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memastikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, maklum dengan aduan rakyat itu.

Anwar yakin kerajaan akan mempertimbangkan kebimbangan sebahagian besar peminjam berhubung potongan gaji yang terlalu tinggi dan bakal membebankan.

“Saya akan kemukakan keresahan beberapa peminjam PTPTN untuk pertimbangan Menteri Pendidikan dan Pengerusi PTPTN. Saya akan beri nota segera pada mereka.

“Jika ada pandangan dan sebagainya, saya pasti Maszlee dan Wan Saiful akan teliti semula.

“Saya sedar dengan semua kebimbangan. Ramai yang hantar mesej pada saya, dari Permatang Pauh, Port Dickson yang antaranya ahli PKR sendiri,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai peratus potongan gaji peminjam PTPTN diumumkan Wan Saiful semalam, yang disifatkan terlalu tinggi bagi golongan M40 di kawasan bandar, selain didakwa melanggar perjanjian bayaran balik peminjam sebelum ini.

Antara kadar bayaran balik yang dipertikaikan membabitkan peminjam berpendapatan RM4,000 ke atas yang akan dipotong gaji antara lapan hingga 15 peratus, atau RM320 hingga RM1,200 ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 3:36 PM