KEGIATAN sindiket penyelewengan LPG bersubsidi sejak setahun lalu lumpuh apabila premis mereka diserbu pihak berkuasa di sekitar Kampung Pulau Meranti, Puchong, kelmarin. FOTO ihsan KPDNHEP.
Ruwaida Md Zain


KEGIATAN satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi sejak setahun lalu lumpuh apabila premis mereka diserbu pihak berkuasa di sekitar Kampung Pulau Meranti, Puchong, kelmarin.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sepang pada 4 petang.

Ia membawa kepada rampasan 151 tong gas berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50kg yang ditemui dalam premis tidak bernombor berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Azman Adam berkata, operasi dijalankan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya mengenai aktiviti penyelewengan gas berkenaan sejak dua minggu lalu.

“Ketika serbuan, seorang lelaki berusia 30-an didapati sedang menjalankan kegiatan decanting atau pemindahan gas bersubsidi ke dalam tong gas industri.

“Kami merampas 117 tong berkapasiti 14kg dan 34 tong kapasiti 50kg umtuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Azman berkata, semua eksibit termasuk sebuah lori yang disita dianggarkan berjumlah RM50,000 manakala lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, barang rampasan itu dihantar di Stor Penyimpanan KPDNHEP.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM 1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu dan kami masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 8:57 AM