Skip this ad x
PENGUAT kuasa MPSJ merobohkan premis besi buruk haram di Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya.

Subang Jaya: Notis arahan berpindah sudah diberikan namun enam pekerja dan pemilik beberapa premis haram pengumpulan besi buruk di sini, berdegil enggan berganjak walaupun menyedari jentera jengkaut mula merobohkan premis berkenaan.

Situasi itu dilihat ketika operasi dilakukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) terhadap enam premis pengumpulan besi buruk di Jalan PPRT3, Kampung Bukit Lanchong, dekat sini, awal pagi semalam.

Operasi meroboh itu yang bermula jam 9 pagi tergendala apabila kira-kira enam pekerja berdegil dengan memasuki premis meskipun berkali-kali ditegah bagi mengelakkan kecederaan berikutan proses meroboh menggunakan jentera berat dilakukan.

Malah, tinjauan di lokasi turut mendapati premis berkenaan dilengkapi bilik pekerja, dapur, tempat berehat dan tandas menyebabkan pekerja kelam-kabut cuba menyelamatkan barang masing-masing daripada musnah.

Difahamkan, MPSJ sebelum ini mengeluarkan notis pada 24 Julai lalu, namun pemilik premis ‘keras kepala’ tidak mahu merobohkan struktur binaan yang dibina di atas tanah milik kerajaan itu.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ Mohd Zulkarnain Che Ali berkata, operasi membabitkan 50 petugas dari MPSJ, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta polis.


OPERASI meroboh diadakan susulan aduan diterima MPSJ.

“Operasi meroboh diadakan susulan aduan diterima MPSJ mengenai binaan premis besi buruk tanpa kebenaran di zon kediaman selain aduan pembakaran terbuka di dalam kawasan itu.

“MPSJ mengeluarkan Notis Pemberitahuan Bangunan kepada pemilik premis pada 24 Julai lalu serta Notis Meruntuh dan Mengosongkan Bangunan pada 13 September lalu. Pemilik mengemukakan rayuan, namun ditolak,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya sudah memberi ruang dan peluang kepada pemilik premis berpindah dan mengosongkan premis selain meminta mereka merobohkan sendiri struktur binaan.

“Bagaimanapun, mereka dilihat seolah-olah tidak mengendahkan notis dikeluarkan sejak 2016,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah (Penguat Kuasa) Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Mohd Farid Shaharir berkata, tindakan merobohkan premis berkenaan dilakukan berikutan pemiliknya menceroboh tanah rizah JPS.

“Tindakan dilaksanakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran dan Seksyen 426(A) kanun sama iaitu kuasa untuk merobohkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 11:13 AM