GAMBAR hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


SEORANG remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air ketika memancing di Sungai Gong Duek dekat Jalan Empangan Jajar, Kampung Gong Duek, Jertih, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Syarif Zulkifli, 13, ke sungai berkenaan bersama adik lelakinya berusia 10 tahun untuk memancing kira-kira jam 2 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih Penolong Pengusa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 2.45 petang.

Katanya, sejurus menerima laporan, seramai 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Daripada maklumat yang kita perolehi, sebelum kejadian air sungai cetek dan mangsa bersama adiknya duduk di satu pulau di tengah sungai berkenaan untuk memancing.

“Bagaimanapun, tiba-tiba datang kepala air sekelip mata dan menenggelamkan pulau berkenaan menyebabkan mereka terkapai-kapai di tengah sungai itu.

“Adik mangsa berjaya menyelamatkan diri ke tebing sungai, manakala mangsa dihanyutkan arus sungai yang deras,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, operasi SAR turut dibantu sembilan anggota polis, 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), selain penduduk setempat.

Bagaimanapun katanya, usaha SAR yang dilakukan pada jarak sehingga 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang gagal menemui remaja itu, setakat ini.

“Operasi terpaksa dihentikan jam 7 malam ini berikutan cuaca gelap dan akan disambung semula jam 7.30 pagi esok dengan bantuan tambahan daripada Unit Skuba dari BBP Kuala Terengganu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 8:59 PM