ROSMAH ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Murni Wan Omar


ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melantik pasukan peguam baru bagi mewakilinya dalam kes pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta dalam kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak yang dihadapinya.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir dan Datuk Jagjit Singh hadir bagi mewakili Rosmah ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Ahmad, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah, hari ini ditetapkan untuk sebutan semula bagi permohonan perbicaraan bersama kes ini dengan kes membabitkan Datuk Rizal Mansor.

"Bagaimanapun, pasukan pembelaan baru Rosmah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. Kami memohon tarikh sebutan baru bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen kepada pembelaan.

"Kita juga sedang menunggu status pemindahan kes Datuk Rizal Mansor ke Mahkamah Tinggi. Kes itu akan disebut semula di Mahkamah Sesyen pada Rabu ini," katanya.

Sementara itu, Akberdin mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen sebelum mengambil langkah seterusnya.

Mahkamah menetapkan 11 Januari tahun depan untuk sebutan semula.

Difahamkan, pelantikan pasukan peguam baharu itu adalah bagi membolehkan tumpuan diberikan bagi setiap kes memandangkan Rosmah menghadapi dua pertuduhan berbeza.

Turut hadir adalah Datuk Seri Najib Razak bersama anaknya, Norashman.

Pada 15 November lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta dalam kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan berjumlah RM187,500,000 iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Ia sebagai dorongan membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1,250,000,000.00 secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, Kuala Lumpur, antara bulan Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek berkenaan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di No 11 Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, pada 7 September 2017.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan membabitkan diri dengan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM7 juta.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 10:43 AM