Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Fakhrul Abid Mohamed Saifuddin
cnews@nstp.com.my


POLIS merampas dadah jenis syabu bernilai hampir RM700,000 serta menahan dua lelaki disyaki pengedar dalam Operasi Lejang di Jalan Hamzah, Kota Bharu dan di Kampung Merisa Wakaf King Berangan, Tumpat.

Menerusi operasi jam 11.50 malam pada Selasa lalu, polis menahan sebuah kereta Perodua Kelisa yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Kota Bharu dan menemui dadah jenis syabu seberat 10 kilogram (kg) yang diletakkan di dalam beg pakaian.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dua lelaki berusia 21 dan 31 tahun itu cuba menyogok polis sebanyak RM21,000 bagi mengelakkan mereka ditahan.

Menurutnya, terdahulu mereka didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika operasi dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Jalan Hamzah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui satu beg pakaian berkunci yang diletakkan di kerusi penumpang belakang. Pada masa sama, seorang lelaki merayu tidak ditahan dan meminta polis mengambil wang sebanyak RM21,000 yang berada dalam bungkusan.

“Pemeriksaan lanjut menemui dadah jenis syabu di dalam beg berkenaan yang dianggarkan seberat 10 kg,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Beliau berkata, seorang daripada suspek yang ditahan membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Merisa Wakaf King Berangan, Tumpat, pada 2 pagi Rabu lalu dan menemui satu plastik hitam yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang kereta Honda City.

Katanya, siasatan menemui 10 peket plastik berwarna biru mengandungi 6,000 biji pil kuda dan sembilan peket plastik mengandungi syabu seberat 459 gram.

“Polis turut menyita wang tunai RM24,748, dua motosikal Honda EX5 dan Ego LC serta sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dengan nilai rampasan berjumlah RM94,748.

“Mereka ini ada kaitan dengan satu sindiket dadah yang bergiat aktif sejak 2013, dan dadah berkenaan dipasarkan di Besut, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok.

“Lelaki berusia 31 tahun mempunyai dua rekod jenayah. Mereka direman selama tujuh hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 7:08 PM
HASANUDDIN (tiga kanan) bersama pegawainya menunjukkan syabu yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini. Foto SYAMSI SUHAIMI