MD Faizal yang cedera menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Fakhrul Abid Mohamed Saifuddin


SEORANG anggota polis cedera di kepala selepas dirempuh penunggang motosikal dalam sekatan jalan raya di Jambatan Pok Nik Lah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.

Dalam kejadian pada 11.30 malam itu, Lans Koperal Md Faizal Md Bkar, 30-an, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bertugas dalam Operasi Lejang bersama beberapa anggota polis lain.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera di kepala dan penunggang motosikal berusia 27 tahun berkenaan turut cedera di kepala dan patah jari telunjuk tangan kanan.

Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum itu, suspek menunggang motosikal dari arah Binjai ke Pengkalan Chepa cuba mengelak daripada diperiksa.

“Lelaki itu cuba melarikan diri dengan membuat ‘pusingan U’ dan menunggang dalam keadaan laju.

“Pada masa sama, mangsa mengarahkan supaya lelaki itu memberhentikan motosikalnya sebelum dirempuh.

“Akibatnya, mangsa terjatuh dan cedera di kepala. Manakala, suspek cedera di kepala dan patah jari telunjuk tangan kanan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, anggota polis itu dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian manakala suspek dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemui dua biji pil dipercayai dadah jenis erimin 5 dalam poket seluar hadapan sebelah kanan.

“Polis menahan lelaki itu untuk siasatan kerana mencederakan polis dan memiliki dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 8:07 PM