Muhammad Apendy Issahak


TUJUH pekerja sebuah restoran makanan segera di Taman Ipoh, Ipoh, yang ditahan bagi membantu siasatan kes ancaman bom di premis berkenaan pada Jumaat lalu, dibebaskan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kesemua individu berusia 20 hingga 33 tahun itu dibebaskan selepas pihaknya selesai merakamkan keterangan mereka.

“Lima daripadanya sudah dibebaskan, semalam manakala dua lagi akan diberi jamin, hari ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, seorang pelanggan menemui objek hitam yang disangka bom di atas pam tandas bersama tulisan ugutan pada dinding tandas premis berkenaan.

Ketika kejadian, terdapat kira-kira 20 pelanggan serta pekerja dalam restoran berkenaan dan susulan penemuan itu polis mengarahkan premis itu dikosongkan.

Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan sebelum menemui satu objek dibalut pita pelekat hitam dengan gulungan wayar di atas pam tandas.

Pemeriksaan bagaimanapun mendapati objek itu hanya gulungan wayar tiga warna bersama penutup botol dan bukan bom seperti maksud nota tulisan ‘tempat ini akan meletup’ yang ditulis pada dinding tandas.

Susulan itu, tujuh pekerja restoran berkenaan ditahan dan direman empat hari hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Ugut bom

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 2:46 PM