Nur Saliawati Salberi


REMAJA lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, atas tuduhan meraba payudara kenalan perempuannya, Julai lalu.

Tertuduh, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Bagaimanapun, hakim menetapkan 15 Januari depan untuk serahan laporan akhlak dan jatuh hukum.

Ia memandangkan kes membabitkan tertuduh bawah umur.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan cara meraba bahagian payudara.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Tanjong Keling, Melaka, kira-kira jam 10 pagi, pada pertengahan Julai 2018.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 1:57 PM
GAMBAR hiasan