GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan


LELAKI warga Indonesia mengamuk dan menetak tiga pekerja di stor penyimpanan sejuk beku makanan di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, hari ini.

Amukan lelaki bersenjatakan parang terbabit membuatkan seorang wanita tempatan berusia 40-an maut ketika dalam perjalanan ke hospital manakala anak lelakinya yang berusia 13 tahun parah.

Selain itu, anak saudara wanita terbabit yang juga seorang remaja lelaki berusia 18 tahun turut parah.

Siasatan di lokasi kejadian juga turut menemui jari mangsa yang putus dipercayai milik anak wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan 4.30 petang mengatakan ada tiga mangsa ditetak.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek yang berusia 31 tahun itu sudah melarikan diri dengan menunggang motosikal.

"Setakat ini, kita masih mengesan suspek dan percaya dapat menahannya dalamtempoh terdekat.

"Motif kejadian juga masih disiasat dan suspek dipercayai sudah bekerja di stor terbabit sejak setahun lalu," katanya.

Noorzainy berkata, ketika kejadian tiga mangsa berkenaan sedang bekerja dalam stor terbabit manakala seorang kerani wanita berada dalam pejabat.

"Suspek masuk ke dalam stor itu dan terus menetak semua mangsa secara rambang sebelum dia melarikan diri.

"Mangsa yang meninggal dunia mengalami kesan tetak di kepala dan kita turut menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan suspek berhampiran lokasi kejadian," katanya.

Difahamkan, anak lelaki mangsa mengambil kesempatan bekerja di stor terbabit ketika cuti sekolah dan premis itu juga milik abang mangsa.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati darah berlumuran di depan pejabat premis berkenaan dan setakat ini polis unit forensik masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 7:36 PM