GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


SATU mekanisme bersepadu perlu diwujudkan untuk menjaga kepentingan pemandu e-hailing di negara ini bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan dan penganiayaan seperti penggantungan tanpa sebab munasabah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, ia susulan beberapa aduan diterima pihaknya mengenai kes pemandu yang hilang punca pendapatan selepas disenaraihitamkan syarikat pengendali biarpun tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Katanya kes membabitkan penggantungan kelulusan untuk menjadi pemandu e-hailing semakin meningkat walaupun tanpa sebab yang munasabah sejak beberapa bulan lalu dan ia direkodkan Persatuan Pemandu Aplikasi Malaysia (PPAM) yang menjadi wakil pemandu e hailing di negara ini.

"Ia memberikan kesan kepada pemandu kerana jika mereka digantung, mereka tidak dapat lagi bekerja dengan syarikat berkenaan dan terpaksa mencari kerja baru. Saya difahamkan, ada ramai penumpang yang memberikan laporan mengenai pemandu, bila disiasat ia tidak seperti dinyatakan, tetapi syarikat tidak mahu mempertimbangkannya," katanya kepada Harian Metro.

Nadzim berkata, isu berkenaan adalah serius kerana ia membabitkan hampir 10,000 pemandu e-hailing di Malaysia dan ada di antara mereka yang terpaksa membuat pinjaman peribadi untuk membeli kereta semata-mata ingin bertukar kerja.

Menurutnya, peluang kerja yang disediakan syarikat pengendali berupaya membantu rakyat mendapatkan pekerjaan serta mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan yang mereka suka, namun aspek lain seperti kebajikan dan perlindungan kepada pemandu perlu diambil kira.

"Pemandu juga pengguna, mereka ada hak walaupun yang menjadi majikan adalah penumpang harian. Tetapi perlu ada saluran yang baik daripada syarikat pengendali sendiri. Saya syorkaan, mereka adakan pertemuan dengan wakil pemandu untuk tahu apa masalah sebenarnya," katanya.


Nadzim (kanan) berbincang dengan Anuar (tengah) berhubung isu pemandu e-hailing. FOTO Yusmizal Dolah Aling

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pemandu Aplikasi Malaysia (PPAM) Anuar Che Seman berkata, ada pemandu yang berhenti kerja kerana mahu mencuba kerja baru sebagai pemandu e-hailing, tetapi disebabkan perkara tertentu, mereka ini disenaraihitam dan digantung syarikat tanpa mendapatkan penjelasan terlebih dulu.

"Selain itu, sikap penumpang yang meremehkan soal penilaian kepada pemandu juga menjadi masalah. Ada yang menilai pada skala satu bintang tanpa mengetahui ia juga menjadi faktor pemandu disenaraihitam, jadi saya mohon perkara ini dikaji dan PPAM bersedia memberi kerjasama kepada syarikat.

"Kami juga hanya merujuk kes yang berkaitan penganiayaan, bukannya kesalahan pemandu. Jika pemandu terbukti bersalah, maka dia akan menanggung akibatnya. Selepas ini kami akan rujuk kepada PPIM jika ada pemandu yang mempunyai kes along atau isu kepenggunaan yang lain. Kepada pemandu yang inginkan maklumat lanjut, boleh layar Facebook PPAM," katanya yang juga bekas atlet olahraga kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 7:16 PM