YUSSILAWATI (kiri) memangku Nur Auliya sambil diperhati Rahmat di rumah mereka di Taman Emas, Beseri. Foto DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


HATI ibu mana tidak resah apabila anak tunggal yang dilahirkan tidak seperti kanak-kanak lain kerana sering demam selepas aktif bermain seharian.

Namun, itulah yang perlu dihadapi Yussilawati Abu Bakar, 40, dan suaminya, Rahmat Faizan, 33, apabila anak perempuan mereka Nor Auliya, 15 bulan, berdepan masalah hati gagal berfungsi.

Yussilawati berkata, Nor Auliya disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika usianya baru masuk 16 hari.

“Nor Auliya disahkan menghidap penyakit berkenaan selepas bacaan jaundisnya naik mendadak menyebabkan najis, kulit dan anak matanya berubah kuning.

“Dia pernah menjalani pembedahan sebelum ini ketika usianya masuk 66 hari, namun bacaan bilirubinnya pula terus meningkat selepas menjalani pembedahan.

“Selepas pembedahan itu, kami terpaksa berulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar setiap hari selama tiga bulan bagi menjalani pemeriksaan rutin sebelum Nor Auliya dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Emas, Beseri, semalam.

Yussilawati berkata, berikutan itu pihak PPUM menyarankan agar anaknya menjalani pembedahan pemindahan hati di hospital pakar di China dengan kos sebanyak RM160,000 kerana bimbang keselamatan Nor Auliya.

“Ia merangkumi kos operasi, tiket penerbangan dan penginapan di sana (China) yang akan diuruskan pihak Nadi Permata selepas mendapat khidmat nasihat pakar kanak-kanak di PPUM.

“Namun, kami sekeluarga memang tidak mampu, saya hanya bekerja sebagai pembantu tadbir bergaji RM1,400 sebulan, manakala suami pula pengawal keselamatan.

“Pendapatan suami memang tidak menentu kerana gajinya hanya berdasarkan jadual kerja, jadi kami memang tidak mampu mencari wang sebanyak itu,” katanya sedih.

Yussilawati berkata, dirinya kini sedang berusaha mengumpulkan dana bagi menjalani operasi pembedahan dan kos rawatan susulan Nor Auliya, manakala suaminya akan menjadi penderma hati untuk anaknya itu.

“Kami memang berharap sekiranya ada pihak yang sudi membantu kerana pelbagai cara kami ikhtiarkan dan kami hanya tawakal sahaja ketika operasi pembedahan dilakukan di sana nanti,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 162302515482 atas nama Yussilawati Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 11:10 AM