FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


TINDAKAN seorang anak yang memukul ibu kandungnya dengan rangka kerusi sehingga lebam dan luka di muka, tangan dan kaki di rumah mereka di Kota Damansara, membawa padah apabila didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Zainuddin Duriat, 35, pengawal keselamatan selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhannya dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan Zainuddin menjalani hukuman penjara lima bulan jika tertuduh gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu memukul Khalijah Mohd, 52, pada bahagian kanan dengan menggunakan rangka kerusi sebagai senjata.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di No 2-5-20, Gugusan Kantan 2, Jalan Nuri 7/4, Kota Damansara, di sini pada 12 tengah malam, 17 Disember lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh supaya tidak mengulangi kesilapan sama di masa akan datang.

Bagaimanapun, Zainuddin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak berkemampuan selain masih menanggung ibunya.

tamat

From: Sarah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 4:06 PM