MOHD Fadzreel Harris Mohd Fadli Hisham, 12, dari Kampung Jeram Manir bersama lembu baka belgian blue kesayangannya yang dipanggil BB. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


BIARPUN baru berusia 12 tahun, namun tidak menjadi penghalang kepada kanak-kanak di Kampung Jeram, Manir itu menternak lembu baka jenis Belgian Blue.

Lembu sado yang berusia setahun dan seberat 320 kilogram itu diternak sendiri Mohd Fadzreel Harris Mohd Fadli Hisham, 12, sejak empat bulan lalu.

Mohd Fadzreel berkata, dia tidak kisah tanggapan orang sekeliling termasuk rakan sebaya dengan hobinya itu.

“Saya tidak mempunyai minat seperti rakan lain yang gemar bermain bola tetapi minat saya ialah menternak lembu.

“Lembu Belgian Blue yang saya panggil BB itu bukan lembu biasa kerana harganya lebih mahal daripada motosikal kapchai biasa.

“Perasaan malu bergelumang dengan najis dan tanah lumpur ketika menguruskan BB langsung tiada pada diri saya,” katanya.

Tambahnya, BB itu dibeli bapanya dengan harga RM8,000 ketika ia berusia sembilan bulan dan sekarang BB berusia lebih setahun.

“Uniknya BB berbanding lembu baka jenis lain kerana bahagian badannya lebih berotot malah boleh mencapai berat sehingga satu tan sekiranya dijaga dengan baik.

“Jika dilihat fizikal BB yang berotot selain warnanya yang unik berwarna hitam bertompok putih, ia seperti lembu yang garang tetapi hakikatnya BB seekor lembu yang sangat jinak dan manja. Saya membelainya setiap hari kerana ia sudah menjadi rutin sejak membelanya,” katanya.

Menurutnya, menternak BB tidak terlalu cerewet tetapi tidak terlalu mudah kerana ia mempunyai disiplin penjagaannya yang tersendiri.

“Kandangnya perlu sentiasa dalam keadaan bersih bagi menghindarkan BB daripada serangan penyakit selain makanan seperti palet dan rumput yang mencukupi pada setiap hari.

“Ramai penternak yang inginkan lembu sado mereka gemuk dan membesar tetapi pada masa sama makanan yang disediakan tidak mencukupi justeru perbuatan itu tidak seiring dengan keperluan ternakan,” katanya.

Bapanya, Mohd Fadli Hisham Che Lah, 37, berkata, dia memang mendorong anaknya itu untuk menternak lembu kerana yakin potensi kegiatan itu pada masa akan datang.

“Tidak rugi menternak lembu baka seperti itu kerana ia boleh memberi pulangan yang lumayan pada masa akan datang. Saya belanja RM8,000 untuk membelinya tetapi dalam tempoh dua tahun BB boleh dijual dengan harga RM15,000 dan ke atas.

“Saya lebih suka melihat anak saya menguruskan lembu sehingga terpaksa bergelumang dengan lumpur dan najis lembu daripada terjebak dengan kegiatan yang tidak berfaedah.

Ibunya, Nor Azilah Aziz, 36, berkata, anaknya itu memang sangat meminati bidang penternakan lembu.

“Kanak-kanak seusia dengannya mungkin meminati kucing, burung atau ikan hiasan sebagai haiwan peliharaan tetapi Mohd Fadzreel terlalu fanatik dengan lembu sehingga meminta kek bertemakan lembu pada sambutan hari lahirnya baru-baru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 4:47 PM