GAMBAR hiasan.
Hadzlihady Hassan


SEORANG wanita warga Indonesia ditahan polis kerana didapati menyebabkan bayi perempuannya yang lahir tidak cukup bulan maut dalam rumah di Jalan Kampung Benggali, Butterworth, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis pada mulanya menerima maklumat daripada jiran mengatakan seorang bayi perempuan maut dipukul bapanya pada 9.45 malam.

Menurutnya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati bayi terbabit lahir tidak cukup bulan dan sudah meninggal dunia.

“Berikutan itu, polis menahan ibu bayi berkenaan yang berusia 30 tahun manakala bapanya yang juga warga Bangladesh melarikan diri kerana bimbang dicekup disebabkan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Pemeriksaan mendapati bayi terbabit bukan dipukul, namun dia meninggal dunia kerana dilahirkan tidak cukup bulan,” katanya.

Noorzainy berkata, bayi terbabit dilahirkan pada 4 pagi semalam sebelum meninggal dunia pada 3 petang membuatkan jiran menyangka dia dipukul hingga mati.

“Ibu bayi itu mendakwa ketika masih hidup, anaknya itu diberikan susu menggunakan sudu plastik kerana dia tidak tahu menyusu badan.

“Bagaimanapun, ketika susu diberikan kali ketiga, wanita berkenaan mendakwa bayinya muntah dan mengeluarkan lendir serta darah melalui hidung,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu memaklumkan kejadian itu kepada suaminya yang kemudian membeli kain putih untuk mengebumikan mayat bayi mereka.

Katanya, pasangan terbabit didapati gagal melaporkan kelahiran bayi mereka itu selain mendedahkan bayi berkenaan dalam keadaan merbahaya tanpa peralatan sokongan selepas dilahirkan pra matang.

“Malah, suspek memberitahu dia tidak merujuk kes bayinya itu ke hospital kerana mendakwa tidak mempunyai wang untuk rawatan.

“Beikutan itu, polis kini sedang memburu suami suspek dan seorang lagi wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

“Polis turut merampas satu bungkusan plastik mengandungi kain putih yang ditemui di rumah terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 8:16 PM