DR MAHATHIR. FOTO Ihsan @chedetofficial
Ahmad Suhael Adnan


TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, sikap saling menghargai dan menghormati antara rakyat berbilang kaum dan agama, menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik, bersatu dan kuat.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap budaya bersifat inklusif antara masyarakat majmuk di negara ini kekal berpanjangan serta diwariskan kepada generasi akan datang.

“Malaysia adalah sebuah negara yang aman, di mana rakyat berbilang kaum dan agama berhimpun bersama-sama untuk meraikan sambutan perayaan masing-masing.

“Manifestasi daripada budaya Malaysia yang inklusif dan diraikan tahun demi tahun, saya berharap sikap saling menghargai ini akan diteruskan dan diwariskan kepada generasi muda.

“Inilah yang menjadikan Malaysia unik, bersatu dan kuat," katanya dalam video perutusan Krismas yang dimuat naik di laman Facebook dan Twitter rasminya, hari ini.

Dalam video berdurasi 49 saat itu, Dr Mahathir yang turut mewakili isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, juga mengucapkan selamat menyambut Krismas kepada seluruh rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 7:22 PM