GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


BUDAK lelaki berusia lima tahun maut selepas disyaki menjadi mangsa dera ibu tirinya di rumah mereka dekat Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, hari ini.

Mangsa sebelum itu dipercayai pengsan ketika dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Dia kemudian disahkan meninggal dunia oleh doktor di wad kecemasan hospital berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 1 pagi.

Beliau berkata, ia selepas doktor yang merawat mangsa membuat laporan di Balai Polis Taman Perling.

“Siasatan awal mendapati doktor menemui kesan lebam pada badan, muka, dada dan bahagian belakang badan mangsa, dipercayai akibat didera,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu, polis menahan ibu tiri dan bapa mangsa, masing-masing berusia 23 dan 33 tahun di rumah mereka di Bandar Dato’ Onn, pada jam 11 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita terbabit ada melakukan penderaan terhadap anak tirinya.

“Kita percaya kanak-kanak ini pernah didera beberapa kali berdasarkan kesan lebam pada badannya.

“Kita juga dapati ibu tiri mangsa berusia 23 tahun itu adalah warga Indonesia dan tidak mempunyai pasport serta kad pengenalan,” katanya.

Menurut Mohd Afzanizam, bapa mangsa bekerja sebagai tukang masak tidak jauh dari rumah mereka, manakala ibu tirinya itu tidak bekerja.

“Kita masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 9:12 PM