GAMBAR hiasan
Muhammad Mustakim Ramli


HANYA kerana tidak berpuas hati kehilangan kerja, tiga buruh dipercayai bertindak membakar jengkaut di tapak projek di Bandar Sri Mahkota, di Kulim, 13 Disember lalu.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, tiga suspek dipercayai membakar jengkaut jenama Hitachi selepas tidak berpuas hati kerana kehilangan kerja selain bekas pengurus mereka gagal memberikan wang pampasan selepas diminta.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, mangsa berusia 47 tahun diugut sejak 3 Disember lalu selepas suspek meminta mangsa memberikan wang pampasan sebanyak RM6,000.

Katanya, mangsa memaklumkan dia tiada wang dan menyebabkan suspek meminta mangsa membayar secara bulanan sebanyak RM1,000 sebulan dan sekiranya gagal mereka mengugut mahu membakar rumah kongsi tapak projek berkenaan.

“Semasa kejadian, suspek juga bertindak ganas dengan memecahkan barang-barang di dalam pejabat. Malah, suspek turut membawa mangsa ke mesin juruwang automatik (ATM) dengan memaksa dia mengeluarkan duit.

“Namun kerana kad ATM mangsa tidak boleh mengeluarkan duit, suspek memberi amaran akan datang lagi kepada pengadu untuk meminta wang,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir, berkata suspek muncul kembali ke tapak projek pada 12 Disember lalu, di mana pengawal keselamatan memaklumkan kepada mangsa yang suspek sedang mencarinya.

“Mangsa hanya membuat laporan polis pada 15 Disember lalu selepas sebuah jengkaut dibakar pada 13 Disember pada 3.30 pagi.

“Mangsa percaya suspek melakukan perbuatan berkenaan selepas pengawal keselamatan melihat seorang daripada suspek berada di lokasi kejadian kira-kira sejam sebelum kebakaran berlaku,” katanya.

Beliau berkata, bertindak daripada laporan yang dibuat mangsa, dua suspek ditahan pihaknya secara berasingan di Kulim, semalam.

“Suspek pertama berusia 31 tahun ditahan 1 tengah hari, manakala seorang lagi berusia 26 tahun ditahan pada 1.20 tengah hari.

“Suspek setakat ini tidak mengaku melakukan jenayah berkenaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti seorang lagi suspek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 385/435 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 11:21 AM