ORANG ramai membayar balik pinjaman mereka di kaunter bayaran Menara PTPTN, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur
Haryani Ngah

Sejak April 1997, pelajar yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak lagi berdepan kekangan kewangan dengan adanya pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ditubuhkan dengan tujuan membantu melahirkan masyarakat yang berpelajaran tinggi, PTPTN secara puratanya setiap tahun memberi manfaat kepada 200,000 pelajar.

Usaha kerajaan mempermudahkan rakyat mendapat pendidikan ini harus dibalas balik oleh peminjam dengan membuat bayaran selepas menamatkan pengajian.

Ketika ini, PTPTN merekodkan 2.9 juta peminjam dan 1.4 juta dilaporkan culas membayar balik pinjaman.

Adalah menjadi bertanggungjawab mereka melunaskan pembiayaan bagi memastikan jutaan anak kecil hari ini mempunyai dana untuk memasuki IPT pada masa akan datang.

Perkenal pelbagai kaedah

Bagi memastikan peminjam membuat bayaran balik, pelbagai kaedah diperkenalkan seperti debit terus dalam talian, perbankan internet dan potongan gaji.

Arahan pembayaran ini termaktub dalam Seksyen 29, Akta PTPTN 1997 memperuntukkan kuasa kepada PTPTN untuk mengarahkan majikan melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam.

Antara kaedah pembayaran, potongan gaji dilihat paling mudah dilaksanakan dan mendapat sambutan dalam kalangan peminjam.

Penolong akauntan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sallekhudin Abdullah, berkata pada peringkat awal, kaedah ini diperkenalkan memang ada kakitangan yang tidak bersetuju.

Bagaimanapun katanya, apabila diteliti balik syarat pinjaman yang mewajibkan peminjam membuat bayaran, mereka akhirnya memahami tuntutan itu.

“Rata-rata kakitangan UTM menerima kaedah pembayaran secara potongan gaji yang dilihat banyak memberi kemudahan kepada mereka.

Tak boleh elak buat bayaran

Cara ini juga menjadikan mereka lebih berdisiplin dan tidak boleh mengelak daripada tidak membuat bayaran.

“Selain itu, ia bukan sahaja mudah, tetapi pembayarannya adalah konsisten. Maklumat pemotongan juga akan dimaklumkan kepada kakitangan,” katanya.

Bagi memastikan urusan potongan gaji ini berjalan lancar dan mengelak sebarang masalah, pihaknya sentiasa berhubung dengan PTPTN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 11:37 AM