LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Sabran Md Sani


ADIK kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas dipercayai didera ibu tirinya di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, Rabu lalu akan dirujuk kepada pakar kanak-kanak dan psikiatri untuk pemeriksaan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata, ia berikutan pemeriksaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu mendapati kesan kecederaan pada tubuhnya.

“Ia selepas polis menerima satu lagi laporan yang dibuat ibu kandung mangsa pada jam 6.06 petang semalam berkaitan keadaan adik kandung si mati berusia empat tahun.

“Ini kerana terdapat kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa disyaki turut menjadi mangsa dera,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Berikutan itu katanya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk pemeriksaan lanjut oleh pakar perubatan.

“Hasil laporan awal pemeriksaan terhadap adik kandung kanak-kanak itu terdapat kesan lebam di bahagian pipi kiri dan kanan serta kesan luka kering di dahi disyaki akibat didera.

“Mangsa akan dirujuk kepada pakar kanak-kanak dan pakar psikiatri untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas dipercayai didera ibu tirinya di Bandar Dato’ Onn.

Mangsa dipercayai pengsan ketika dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor di wad kecemasan hospital berkenaan.

Polis kemudian mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan hentakan benda tumpul.

Susulan kejadian, bapa dan ibu tiri mangsa sudah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, ibu kandung kepada dua beradik malang itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS).

Berita berkaitan

UPDATE] Ibu kandung buat laporan polis

Ibu tiri, bapa kandung direman

Budak maut didera ibu tiri

Kes dera: Maut akibat hentakan benda tumpul

Adik mangsa pun disyaki didera

'Terima kasih kariah Ulu Tiram'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 7:37 PM