MUHYIDDIN (tengah) bersama Syed Saddiq (dua kiri) dan Rina (dua kanan) di Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi dan ARMADA. FOTO Eizairi Shamsudin
Rohaniza Idris; Mohd Husni Mohd Noor dan Hashini Kavishtri Kannan

KEPEMIMPINAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sentiasa bersikap terbuka menerima pandangan daripada SRIKANDI dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) bagi mencorakkan masa depan parti dan negara ini.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, ini kerana majoriti ahli parti adalah anak muda iaitu satu petanda yang baik kepada masa depan parti.

Katanya, parti yang dianggotai oleh anak muda adalah parti yang releven pada masa kini dan masa depan.

"Maka, sewajarnyalah saudara-saudari diberikan peluang untuk mengambil bahagian secara lebih bermakna dalam mencorakkan masa depan parti dan negara ini," katanya ketika ucapan pada perasmian Perhimpunan Agung Tahunan SRIKANDI dan ARMADA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, malam tadi.

Turut hadir kedua-dua Naib Presiden parti, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Abdul Rashid Ansari; Ketua SRIKANDI BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata, untuk melangkah ke depan, SRIKANDI mestilah terus membina kekuatan dengan menambah ahli seramai mungkin.

Katanya, SRIKANDI perlu menarik minat wanita Melayu dan Bumiputera untuk menyertai BERSATU.

"Dekati mahasiswi di kampus, kumpulan wanita profesional bandar, golongan wanita di pekan dan desa. Cari mereka yang berbakat untuk menyertai SRIKANDI.

"Selain itu, perkukuhkan perpaduan sesama ahli serta tingkatkan keupayaan untuk melaksanakan gerak kerja parti dengan tersusun," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan ARMADA menjadikan parti medan latihan mengasah bakat kepimpinan sebagai persediaan mengemudi parti pada masa depan.

Justeru, beliau mahu program kaderisasi ditambah bagi menarik minat anak muda yang berbakat menyertai parti itu.

"Sediakan program latihan kepimpinan yang mantap untuk mereka. Bukalah ruang yang seluas-luasnya kepada anak muda di luar sana untuk menyertai BERSATU dan menyumbang kepada parti," katanya

Muhyiddin turut melahirkan penghargaan kepada SRIKANDI dan ARMADA yang begitu komited memastikan kemenangan parti pada pilihan raya yang lalu.

Katanya, sayap SRIKANDI di bawah kepemimpinan Rina (Mohd Harun) menjadi tiang seri parti manakala ARMADA di bawah kepemimpinan Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) adalah tonggak utama BERSATU.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SRIKANDI yang tetap setia berjuang untuk parti. Tatkala parti kita sedang bertatih, SRIKANDIlah yang turun ke segenap ceruk pekan dan desa membantu parti untuk menambah ahli dan membaca sikap pengundi.

"SRIKANDI juga tidak pernah lemah semangat berdepan dengan parti lawan walaupun jumlah mereka jauh lebih besar, saudari-saudari semua tetap cekal mara ke hadapan menembusi kubu parti mereka.

"Alhamdulillah, dengan kesetiaan dan kecekalan semangat saudari-saudari semua, parti kita beroleh kemenangan," katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, pengiktirafan kepada ARMADA kerana sentiasa di depan sepanjang kita berjuang untuk menewaskan kerajaan kleptoktrat Barisan Nasional (BN).

"Kita tentunya masih ingat ARMADA diserang dengan bertubi-tubi oleh parti lawan. Namun, Alhamdulillah, semangat dan daya juang saudara-saudara semua tidak pernah luntur,ARMADA terus mara dengan berani sehingga musuhkita tewas dan tersungkur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 10:43 PM