IPOH. Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mengedarkan kalendar DAP Ipoh Barat 2019 di Pasar Kampung Tawas,Ipoh.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


CALON DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dijangka turut sama turun padang dalam lawatan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di Cameron Highlands esok.

Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran berkata, bagaimanapun identiti bakal calon itu hanya akan diumumkan beberapa hari sebelum hari penamaan calon dibuat.

Menurutnya, DAP akan memulakan pusingan pertama lawatan ke Cameron Highlands esok sebagai persediaan menghadapi PRK dan bertemu dengan masyarakat di kawasan parlimen berkenaan.

“Kit Siang dan saya akan berada di Ringlet iaitu kawasan pertama dilawati selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Kita akan berada di sana lebih kurang jam 10 pagi dan lawatan adalah bertujuan berjumpa dengan penduduk di sana.

“Ini adalah satu peluang yang mana kita akan tandingi PRK akan datang dan kita juga akan pergi ke kawasan perkampungan Orang Asli,” katanya pada sidang media selepas mengedarkan kalendar 2019 di Pasar Awam Kampung Tawas di Ipoh hari ini.

Kulasegaran berkata, lawatan itu akan disertai oleh semua penyokong serta ahli DAP di Cameron Highlands dan berharap masyarakat tempatan memberi sokongan kuat kepada Pakatan Harapan (PH) agar dapat merampas kerusi Parlimen Cameron Highlands.

“Ini adalah kerusi tradisi DAP dan ia sudah diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

“Calon akan diputuskan tidak lama lagi dan dijangka diumumkan dalam tempoh 10 hari lagi oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng,” katanya.

Kulasegaran berkata, pemilihan calon yang akan bertanding terletak di bawah bidang kuasa Guan Eng, namun pengumumannya akan dibuat hanya selepas perbincangan dengan semua pihak berkaitan.

“Walaupun kita tidak akan mengumumkan bakal calon itu dalam program turun padang esok, namun calon ramalan atau bakal calon berkenaan mungkin akan hadir (lawatan) esok,” katanya.

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Cameron Highlands dimenangi Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya, Datuk C Sivarraajh, namun kerusi itu diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan Sivarraajh.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen berkenaan yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Susulan kekosongan kerusi berkenaan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK pada 26 Januari ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 12 Januari manakala tarikh mengundi awal pada 22 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 4:01 PM