ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa selepas motosikal ditunggangnya melanggar kerbau. FOTO Ihsan Pembaca
Zatul Iffah Zolkiply


CHUKAI: Seorang pembantu operasi sekolah meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau yang melintas jalan di Jalan Mak Lagam-Cheneh berhadapan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam itu, Mohd Jafri Mohd Kassim, 34, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan.

Ketika kejadian, mangsa yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang dipercayai baru keluar dari rumahnya di Kuarters SMK Mak Lagam menghala ke Chukai.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, sebaik tiba di tempat kejadian dipercayai mangsa gagal mengelak seekor kerbau yang melintas jalan.

“Haiwan itu melintas tiba-tiba menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh kerbau itu sebelum mangsa terjatuh di atas jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 7:38 AM