ANTARA wanita yang ditahan selepas didapati positif dadah diiringi anggota penguatkuasa pada Operasi Bersepadu sempena Ambang Tahun Baru anjuran MPHTJ dengan kerjasama Imigresen, AADK dan JAIM di Taman Tema Melaka Wonderland, Ayer Keroh. FOTO Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi


KEGHAIRAHAN lebih 500 individu yang sedang berpesta sempena menyambut ambang tahun baharu berakhir apabila kumpulan itu diserbu penguat kuasa dalam Operasi Bersepadu di taman tema air di Ayer Keroh, tengah malam tadi.

Ketika serbuan dilakukan 12.20 tengah malam, pengunjung sedang asyik menari di pentas malah ada yang sedang mandi-manda di dalam kolam.

Pesta berkenaan yang mendapatkan kelulusan permit daripada pihak berwajib bagaimanapun dikatakan bertukar menjadi pesta liar apabila ada dalam kalangan pengunjung dipercayai menyediakan bekalan dadah dan minuman keras.

Difahamkan, pengunjung yang inginkan suasana ‘luar biasa’ hanya perlu membayar tambahan RM70 untuk mendapatkan bekalan dadah.

Malah, seorang pengunjung lelaki nyaris maut akibat lemas selepas dia yang cuba melarikan diri daripada ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terjatuh ke dalam tasik.

Kebanyakan lelaki dan wanita terbabit dipercayai berasal dari luar negeri dan berkunjung ke taman tema air itu semata-mata untuk menyertai aktiviti tidak bermoral berkenaan.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati 22 pengunjung termasuk tujuh gadis berusia antara 15 hingga 25 tahun ditahan selepas didapati terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mahani Masban berkata, operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Jabatan Imigresen bagi memeriksa dan mengesan premis yang melanggar syarat lesen, selain membendung gejala sosial.

Beliau berkata, penganjuran pesta itu mendapat kelulusan permit bagaimanapun ia didapati melanggar syarat ditetapkan apabila berlangsung melebihi waktu ditetapkan selain terdapat penyalahgunaan dadah dan alkohol.

“Untuk itu kita akan memanggil pihak penganjur bagi merakamkan keterangan serta siasatan mengenai perlanggaran permit.

“Susulan pesta ini juga difahamkan sebanyak tiga laporan polis dibuat penduduk sekitar kerana terganggu dengan suasana bising,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi pada 2.30 pagi hari ini.

Mahani berkata, hasil operasi yang turut diadakan di empat premis lain di sekitar Ayer Keroh dan Batu Berendam, pihaknya turut mengeluarkan 10 kompaun membabitkan kesalahan lesen perniagaan tamat tempoh, langgar syarat lesen dan premis kotor.

“Selain itu JAIM turut mengeluarkan surat Perintah Hadir mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kepada 10 gadis kerana berpakaian tidak sopan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 9:45 AM