MOHD Nazri (kanan) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas dalam Ops Gelora Khas di Batu 3 Jalan Apas, Tawau. FOTO ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming

PASUKAN Polis Marin (PPM) Tawau merampas 10,000 karton rokok pelbagai jenama dalam Operasi Gelora Khas di kampung Batu 3 Jalan Apas dekat Tawau, Ahad lalu.

Serbuan dilakukan hasil maklumat Unit Risikan Marin (URM) diketuai Inspektor Mohd Sofian Ag Damit selepas mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir berhampiran sebuah perkampungan atas air di Tawau, pada 10.30 malam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sebaik tiba di kawasan itu, beberapa orang individu memunggah barang, termasuk bungkusan plastik hitam ke dalam sebuah lori.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan lelaki itu bertindak melarikan diri ke kawasan perumahan atas air berkenaan apabila menyedari kehadiran polis.

“Pemeriksaan lanjut ke atas lori jenis Isuzu yang ditinggalkan dalam keadaan enjin masih hidup menemui beberapa bungkusan plastik hitam.

“Pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam itu menemui sebanyak 10,000 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar daerah ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan, termasuk lori yang digunakan dalam kegiatan itu berjumlah RM148,500.

“Kesemua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 5:00 PM