RESTORAN dan premis makanan yang ditampal papan tanda 'Dilarang Merokok' selepas kerajaan mewartakan semua premis makanan sebagai tempat larangan merokok berkuatkuasa 1 Januari 2019. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ruwaida Md Zain

“AMAT tak berbaloi jika peniaga kedai makanan dikenakan denda sehingga RM5,000 hanya disebabkan pelanggan menghisap rokok,” kata peniaga yang dikenali sebagai Dan, 35.

Dia yang menjalankan perniagaan di Medan Selera Prima, Seksyen 2, Shah Alam mengakui bukan mudah untuk menegur pelanggan dalam kalangan perokok tegar.

"Terus terang tak berbaloi kalau saya kena denda sedangkan mereka (perokok) yang datang ke kedai saya. Jadi sebab itu saya kena bertegas juga... jangan benarkan mereka merokok.

"Saya juga sudah maklumkan kepada perokok yang saya tidak halang mereka, tetapi bukan di sini (kedai makan). Memang sukar untuk nasihat perokok tegar ini, tetapi saya cakap elok-elok.

"Saya minta mereka merokok dalam jarak yang dibenarkan seperti di tepi pokok, longkang dan sebagainya. Kenalah hormati perokok pasif seperti anak kecil, wanita mengandung termasuklah golongan lelaki yang tidak merokok," katanya ketika ditemui NSTP di Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, tinjauan NSTP di medan selera serta restoran di Seksyen 2, Seksyen 7 dan Seksyen 11, Shah Alam bermula jam 1 sehingga 3 petang tadi mendapati semua pelanggan menghormati larangan itu.

Semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok bermula 1 Januari 2019, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.



Mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Manakala mengikut Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

Semalam, tujuh individu memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makanan, mulai 1 Januari 2019.

Permohonan mereka difailkan secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, melalui e-filing, dikendalikan Tetuan Haniff Khatri.

Mereka adalah Mohd Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48; dan Yuri Azhar Abdollah, 39.

Dalam permohonan itu, semua pemohon yang bertindak mewakili diri dan perokok yang menyokong usaha "Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok" menamakan Kementerian Kesihatan selaku responden.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 6:39 PM