KUPON parkir yang berakhir pada 2018 masih sah digunakan hingga 31 Mac 2019. FOTO Asrol Awang


MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) mengesahkan kupon parkir yang berakhir pada tahun 2018 masih sah digunakan sehingga 31 Mac ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, pemegang kupon yang masih memilikinya tidak perlu bimbang kerana ia masih sah digunakan.

Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu hanya memberikan tempoh sah penggunaannya sehingga 31 Mac ini.

“Sebaik tempoh tiga bulan berakhir, kupon parkir yang tamat pada 2018 tidak lagi sah dan pemilik kenderaan perlu membeli kupon baharu bagi mengelak dikompaun.

“Pemilik kenderaan tidak perlu menggores kupon mengikut tahun, sebaliknya hanya berbuat demikian pada tarikh dan bulan sahaja,” katanya di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan kupon parkir boleh membelinya di kaunter bayaran ibu pejabat MPK, Jalan Tanah Putih, di sini.

Katanya, kupon itu turut dijual di semua pondok jualan, kaunter jualan kupon letak kereta MPK dan semua ejen berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan itu.

“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Unit Letak Kereta, Bahagian Hasil, Jabatan Perbendaharaan MPK di talian 09-5317555,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 11:08 AM