BAHAGIAN hadapan bot kelas A dinaiki Amizi yang pecah akibat dipukul ribut dan ombak besar ketika ingin masuk ke muka kuala Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


LIMA nelayan mengalami detik mendebarkan apabila bot mereka dipukul ombak besar sejak Rabu lalu ketika keluar ke laut untuk menangkap ikan.

Bagaimanapun, mereka diselamatkan nelayan lain dan sampai ke darat pada 4 petang hari ini.

Difahamkan, bot kelas A yang keluar ke laut sejak Selasa lalu itu turut mengalami kerosakan pada enjin dalam percubaan ketika ingin masuk ke muka kuala Kuala Terengganu selepas dibadai ombak besar.

Keadaan itu memaksa sekumpulan nelayan lain dari Jeti Nelayan Kuala Terengganu menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Amizi Rosli, 39, dari Kampung Kuala Bekah, berkata dia dan empat nelayan lain tidak menjangka keadaan cuaca seteruk itu.

“Memang kami maklum dengan ramalan dikeluarkan pihak berkuasa, tetapi pada Selasa, cuaca masih baik. Kami sempat menangkap ikan sehari sebelum dipukul ribut di tengah laut pada petang Rabu.

“Ada bahagian bot rosak akibat dipukul ombak dan gelombang di tengah laut malah hampir terlingkup,” katanya.

Menurutnya, sepanjang 24 tahun menjadi nelayan, kejadian yang menimpa mereka itu antara paling menakutkan.

“Kami hanya mampu berdoa supaya cepat sampai di daratan kerana semakin lama masa diambil, risiko untuk karam semakin besar.

“Kerosakan pada enjin bot membuatkan keadaan semakin cemas, tetapi bernasib baik kerana sempat mendapatkan bantuan nelayan lain di pengkalan untuk datang menunda bot kami dari muka kuala ke jeti,” katanya.

Katanya, pengalaman dipukul ribut dan ombak besar selama lebih 24 jam di lautan memberi pengajaran dan amaran supaya lebih berwaspada dengan cuaca.

“Begitupun, kejadian seperti ini sudah menjadi asam garam sebagai nelayan dan tidak membuatkan kami serik,” katanya yang berjaya memperoleh 500 kilogram ikan kerisi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 8:10 PM