JENAZAH Izzul Fitri (gambar kecil) dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun selepas motosikal diboncengnya terbabas ketika mengelak babi melintas di Kilometer 4, Jalan Jongok Batu-Kuala Jengai, Dungun, petang semalam. FOTO Rosli Ilham.


PELAJAR maut selepas motosikal diboncengnya bersama seorang rakan terhumban ke dalam gaung ketika cuba mengelak babi melintas di Kilometer 4, Jalan Jongok Batu-Kuala Jengai, Dungun, petang semalam.

Dalam kemalangan 6.40 petang itu, Izzul Fitri Rosdi, 18, meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Kuala Jengai.

Rakannya, Muhammad Hafeezi Mohd Sham Suddin, 18, yang menunggang motosikal Honda SR150 dilaporkan cedera di kaki dan kepala.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke Bukit Besi selepas berkelah di kawasan Air Terjun Chemerung, Pasir Raja, Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, kejadian berlaku apabila seekor babi tiba-tiba melintas sebaik mangsa tiba di tempat kejadian.

“Rakan mangsa yang menunggang motosikal dikatakan cuba mengelak sebelum kenderaan itu terhumban ke dalam gaung di situ.

“Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan berhampiran, namun disahkan meninggal dunia manakala rakan mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa kemudiannya diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 12:24 AM