Skip this ad x
KUIL yang dibina di tengah-tengah blok kediaman disita MBIP. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim.
Izlaily Nurul Ain Hussein


KUIL yang dibina di hadapan sebuah rumah yang juga di tengah-tengah blok dekat rumah pangsa Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru mendapat perhatian apabila gambar rumah ibadat itu disita penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) tular di media sosial sejak semalam.

Bagaimanapun, bangunan rumah ibadat yang dibina tanpa mendapat kelulusan itu sudah wujud sejak 20 tahun lalu, malah ketika isu pembinaan kuil itu ditularkan, ia dalam proses perobohan mengikut notis diserahkan MBIP.

Pengerusi Persatuan Penganut Sri Maha Brahma Siva Jadamunieswaran, Subrah Seperommany berkata, pihaknya kesal apabila isu kuil persatuan itu ditularkan sedangkan mereka sudah akur dengan notis meruntuhkan binaan itu.

Pihaknya turut kesal apabila isu kuil itu dikaitkan dengan isu perkauman dan insiden rusuhan di Seafield, Selangor yang menyebabkan seorang anggota bomba meninggal dunia.

“Kuil ini sudah 20 tahun lebih, kita sudah beberapa kali mohon tanah, ada yang kata mahu tolong, tetapi tidak tolong.

“Kita tidak mahu buat rusuhan, kita sudah kata akan robohkan sendiri. Bila kita dapat notis dari MBIP, kita sudah mengaku salah, kita sudah cakap kita akan roboh, tetapi tidak tahu kenapa isu ini tular.

“Kita tidak mahu susahkan sesiapa, tetapi bila ia tular, ia memalukan kita, mereka susahkan kita, sedangkan boleh datang dan berbincang. Kita tahu siapa yang buat (tularkan), tetapi kita tidak ambil tindakan. Mereka tidak tahu apa yang berlaku, mereka tidak tahu kesedihan kita,” katanya ketika ditemui di kuil berkenaan di sini, hari ini.

Dia yang juga Pengerusi Persatuan Jadayu Johor berkata, pihaknya menerima notis merobohkan binaan kuil itu pada 24 Disember lalu dan tempoh notis diberikan adalah selama 21 hari sehingga 13 Januari ini.

Bagaimanapun, dia berkata, kerja merobohkan binaan itu mengambil masa bergantung dengan cuaca dan pekerja pembinaan.

“Dalam masa tiga hingga empat hari ini, kita akan robohkan, tak tahu kenapa semalam isu ini tular sedangkan kita diberi tempoh sehingga 13 Januari ini,” katanya.

Binaan setinggi lebih tiga meter itu dibina di hadapan rumah yang dimiliki Subrah sejak 1986 dan dijadikan pusat pertemuan rasmi kira-kira 200 penganut atau ahli persatuan dari seluruh negara.

Kuil berkenaan mula dibina pada 1996 itu dan diperbesarkan binaannya pada 10 November 2018.

Subrah berkata, selepas ini, dia akan mencari tempat sementara untuk melaksanakan acara tahunan upacara setiap Februari.

“Kita juga akan mula mencari tanah lain dengan cara yang betul untuk membina semula kuil ini,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBIP, Datuk Adib Azhari Daud berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam menerusi laman sembang WhatsApp pada 23 Disember lalu berhubung binaan kuil tanpa kebenaran di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, Jabatan Bangunan MBIP seterusnya mengadakan lawatan ke lokasi dan mengeluarkan Notis Roboh mengikut Seksyen 72 Akta 133 iaitu meruntuhkan binaan tanpa kelulusan berserta arahan berhenti kerja serta-merta.

“Penutupan tapak binaan juga dilakukan ke atas pembinaan kuil itu pada hari sama.

“Pada 30 Disember lalu, Jabatan Bangunan sekali lagi membuat lawatan tapak dan mendapati ada longgokan bahan binaan di tapak dan pemilik ingkar arahan notis dikeluarkan.

“Satu kompaun Undang-Undang Kecil 6 dikeluarkan untuk mencegah kekotoran dan penutupan pembinaan kuil itu untuk kali kedua,” katanya.

Menurutnya, semalam, lawatan ke tapak mendapati pita kuning yang dipasang pada binaan menunjukkan ia disita tidak dibuka dan tiada sebarang pembinaan dijalankan.

“Hasil perbincangan, pemilik binaan kuil bersetuju meruntuhkan sendiri binaan itu sebelum 13 Januari ini.

“MBIP akan mengambil tindakan selanjutnya jika pemilik binaan berkenaan masih gagal mematuhi tempoh notis yang dikeluarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 4:12 PM