Mohd Iskandar Ibrahim
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Berkuat kuasa Rabu lalu, pemilik pasport yang kehilangan dokumen berkenaan akan dikenakan denda antara RM300 hingga RM1,200.

Perintah denda itu turut membabitkan kerosakan pada dokumen berkenaan seperti yang terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2019 bertarikh 20 Disember tahun lalu.

Perintah yang disiarkan di laman sesawang rasmi Pejabat Peguam Negara itu dikeluarkan oleh Setiausaha Jemaah Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Menurut perintah itu, individu yang kehilangan dokumen terbabit buat kali pertama dikenakan denda RM400 kecuali kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara.

Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara pula, denda RM300 dikenakan.

Bagi penggantian pasport kali kedua, denda RM700 akan dikenakan manakala bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara, denda RM600 dikenakan.

Jika pemilik kehilangan pasport buat kali ketiga, denda RM1,200 akan dikenakan manakala RM1,100 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara.

Sebelum ini, pemilik yang kehilangan dokumen berkenaan tidak dikenakan sebarang penalti.

Difahamkan, Jabatan Imigresen akan menetapkan tatacara dan pelaksanaan baharu penggantian pasport yang hilang serta rosak susulan perintah fi yang diwartakan.

Berdasarkan laman sesawang Jabatan Imigresen, permohonan gantian pasport yang hilang atau rosak boleh dilakukan di mana-mana pejabat Imigresen.

Bagaimanapun, pemohon perlu membuat laporan polis terlebih dahulu dan permohonan serta perlu disertakan dengan MyKad.

Kelulusan permohonan gantian pasport bergantung kepada keputusan Ketua Pengarah Imigresen dan tempoh keputusan siasatan akan dimaklumkan dalam tempoh lima hari bekerja dari tarikh permohonan diterima.

Bagi kehilangan pasport di luar negara, pemohon perlu melaporkan segera di pejabat Perwakilan Malaysia yang terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 7:01 AM