GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amin Ridzuan Ishak

PAKATAN Harapan (PH) mengakui cabaran besar menanti dalam usaha merampas Parlimen Cameron Highlands kerana ia terletak di negeri ditadbir dan dimenangi Barisan Nasional (BN).

Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini boleh dianggap unik kerana ia kali pertama PH bertanding di gelanggang lawan iaitu kerusi dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan negeri ditadbir BN.

Katanya, sebelum ini PRK diadakan di kawasan dimenangi dan dikuasai PH iaitu Parlimen Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis serta Balakong (Selangor).

"Kita sudah memilih calon iaitu M Manogaran daripada DAP dan mempunyai keyakinan memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands, bagaimanapun kita menyedari kedudukannya yang unik kerana mempunyai penduduk pelbagai kaum serta peratusan pengundi orang asal tinggi.

"Kita menghormati kekuatan BN yang ada waktunya dan dalam keadaan tertentu boleh menjadi pasukan kuat.

"Ia sudah pasti menjadi satu pertembungan bakal menarik minat ramai dan kita sudah mengatur pelbagai strategi untuk memenanginya," katanya kepada media selepas melepaskan peserta Ultron Kuantan New Year Ride & Run 2019 di Kuantan, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, antara kerisauan PH adalah kemungkinan besar peratusan keluar mengundi rendah pada PRK Cameron Highlands yang bakal memberi kesan kepada jumlah pengundi atas pagar.

"Kedua-dua parti sudah pasti mahukan jumlah peratusan pengundi yang tinggi kerana semakin ramai pengundi atas pagar keluar mengundi, parti sudah tahu siapa pengundi mereka.

"Mereka mahu sokongan pengundi atas pagar bagi memastikan kemenangan," katanya.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN pada PRU-14 selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU-14, Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi).

Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 10:15 AM