Hadzlihady Hassan


“SUKAR jadi seorang menteri tapi lebih sukar jadi seorang bapa,” kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang memberikan sokongan moral kepada sahabatnya Menteri Pertahan Mohamad Sabu berikutan kes anaknya yang ditahan di pusat hiburan dan disyaki positif dadah.

Beliau berkata, sebagai seorang bapa memang sukar untuk menghadapinya namun beliau turut memuji sikap terbuka Mohamad yang mahukan kes anaknya itu disiasat mengikut undang-undang.

"Saya rasa simpati buat kawan baik saya (Mohamad) dan harap dia tabah hati menghadapi segala cabaran.

"Semua pihak diharap dapat memberi ruang dan saya sendiri faham situasi yang dihadapi beliau kerana saya juga seorang bapa," katanya yang ditemui pada sidang media berhubung Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 di Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang, Georgetown, hari ini.

Guan Eng berkata, beliau sendiri pernah terpalit dengan pelbagai kontroversi membabitkan masalah anak-anaknya suatu ketika dahulu dan berharap Mohamad tabah menghadapi segala cabaran.

"Apapun, saya memuji sikap terbuka beliau yang tetap mahukan kes anaknya itu disiasat mengikut undang-undang," katanya.

Sebelum ini, anak Mohamad, Ahmad Saiful Islam, 31, bersama 101 individu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, awal pagi semalam oleh Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Difahamkan, dia bersama rakannya berusia 33 tahun sedang berhibur ketika operasi dijalankan sebelum ujian saringan air kencing awal dilakukan terhadapnya mendapati dia positif ganja.

Bagaimanapun, Ahmad Saiful Islam dibebaskan dengan jaminan polis pada 6 petang semalam.

Berita berkaitan:

  • 'Tiada kenyataan tambahan'
  • Biar polis siasat - Mat Sabu
  • [UPDATE] Anak menteri dibebaskan
  • Anak menteri 'kantoi' ganja
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 3:38 PM
    LIM Guan Eng ketika sidang media. FOTO Ramdzan Masiam