MOHAMED Jawhar (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Dr Ahmad (dua dari kanan) sambil diperhatikan Wan Azizah sempena majlis Penutupan Makmal Kemanusiaan 2.0 Mercy Malysia di UIAM. FOTO Foto Zaaba Zakeria
Garret Dawum

Gombak: Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Media Prima-NSTP Humanitarian Fund) menyerahkan sumbangan berjumlah RM412,350 menerusi Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima kepada Mercy Malaysia.

Dana berkenaan akan digunakan untuk menampung kos bantuan kesihatan dan perubatan di Rakhine, Myanmar.

Replika cek diserahkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan kepada Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus.

Penyerahan cek berkenaan pada Majlis Penutupan Makmal Kemanusiaan 2.0 Mercy Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), semalam disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mohamed Jawhar berkata, Media Prima menyatakan penghargaan setulus ikhlas kepada semua pihak yang menyumbang kepada tabung berkenaan dan menunjukkan keprihatinan terhadap nasib pelarian etnik Rohingya.

“Sejak dilancarkan pada November 2016, Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima berjaya mengumpul RM0.761 juta dan sudah diserahkan kepada pihak yang membantu pelarian Rohingya.

“Sepanjang tabung itu ditubuhkan, Media Prima menggunakan semua platform media yang ada dalam meningkatkan kesedaran dan menunjukkan keprihatinan terhadap nasib yang menimpa rakyat Rohingya.

“Media Prima juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudah memberikan sumbangan menerusi tabung itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Faizal berkata, makmal kali ini menumpukan kepada tiga masalah paling kritikal yang memberi impak terbesar kepada etnik Rohingya di Malaysia iaitu dokumentasi dan ratifikasi, kesihatan serta pendidikan.

“Menerusi makmal itu juga, satu resolusi menggabungkan pendapat, pengalaman dan nasihat daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk penyelidik, pensyarah, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dicapai diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 11:24 AM