(Dari kanan) Nur Natasha bersama Nur Aisyah dan Muhammad Sya'ban membaca buku untuk mendalami Islam. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


WALAUPUN tidak dilahirkan dalam agama Islam, namun ia tidak menghalang Nur Natasha Alisha Mohan, 19, fasih membaca al-Quran sehingga pernah dua kali mewakili Melaka pada tilawah al-Quran peringkat kebangsaan.

Nur Natasha yang lahir dalam keluarga bukan Islam juga berdepan detik sukar apabila ibu dan bapanya bercerai ketika dia berusia lima tahun.

Gadis kacukan Cina dan India itu berkata, perceraian ibu dan bapanya yang menjadi titik tolak ibunya, Nur Aisyah Chan, 44, memeluk Islam ketika mencari ketenangan dalam situasi getir yang dihadapi pada 2007.

Katanya, sejak ibu dan bapanya berpisah, dia bersama dua kakak, Miesha Alisha Soffea, 25, dan Zara Raisya Alesha, 23, serta adik lelaki, Muhammad Sya’aban, 17 tinggal bersama bapa selepas mendapat hak penjagaan ke atas anak.

“Namun, setiap kali berpeluang bersama ibu, saya mempelajari agama Islam dan mengikut setiap amalan agama yang dilakukan ibu.

“Sepanjang tinggal bersama bapa, kami menganut agama Hindu, namun kami empat beradik dengan sendirinya mengambil keputusan memeluk Islam.

“Saya memeluk Islam kerana minat mendalam terhadap Islam,” katanya ketika ditemui di Persatuan Cina Islam Malaysia (MACMA) Melaka, Bukit Palah, Melaka.

Nur Natasha berkata, kakaknya, Miesha Alisha memeluk Islam ketika berusia 18 tahun, manakala Zara Raisya (18 tahun); Nur Natasha (13 tahun) dan Muhammad Sya’ban (13 tahun).

Nur Natasha berkata, dia sudah dua kali mewakili Melaka pada tilawah al-Quran peringkat kebangsaan pada 2015 dan 2017, selain menjangkakan akan mewakili negeri Hang Tuah tahun ini sekali lagi selepas muncul juara qariah peringkat negeri tahun lalu.

“Setakat ini Majlis Agama Islam Melaka (JAIM) belum membuat pengumuman rasmi siapa yang akan mewakili Melaka (tilawah kebangsaan), namun saya dan adik (Muhammad Sya’ban) muncul juara qariah dan qari pada pertandingan peringkat negeri tahun lalu.

“Mungkin kami bersama-sama akan bertanding di peringkat kebangsaan,” katanya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Katanya, selepas memeluk Islam dia sudah pandai membaca al-Quran sendiri, sebelum memenangi satu pertandingan pada 2015 dan dipilih mewakili Melaka di peringkat kebangsaan.

Sementara itu, Nur Aisyah berkata, pelbagai dugaan ditempuh selepas berpisah dengan suami pada 2005 sehingga akhirnya dia memilih Islam untuk mendamaikan hati.

“Saya diberitahu, jika ikut Islam, belajar, yakin dan solat, Insya Allah doa akan dikabulkan.

“Tambahan pula saya tidak mendapat hak jagaan anak-anak, saya mengerjakan solat hajat setiap malam.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan dengan membuka hati anak-anak memeluk Islam,” katanya yang kini dikurniakan dua anak bersama suami baharu, Sultan Room, 44.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 5:13 PM