ANGGOTA polis memeriksa sebuah daripada empat motosikal yang ditemui semula, semalam. Foto ROSLI ILHAM


POLIS menemui semula empat motosikal yang dilaporkan hilang termasuk motosikal milik Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli dalam beberapa siri tangkapan yang berakhir malam semalam.

Motosikal Honda EX5 milik Ahli Parlimen itu yang dilaporkan hilang pada 30 Disember lalu, ditemui semula, kira-kira jam 10 malam.

Ia yang dijadikan wakaf untuk kegunaan penduduk Kampung Alur Tembesu itu ditemui selepas tangkapan dua beradik dikenali Kancil serta Lion berusia 38 dan 41 tahun di rumah mereka di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun.

Turut ditemui di rumah suspek ialah sebuah motosikal Modenas Kriss yang dilaporkan hilang di Kampung Pak Sabah pada 1 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kedua-dua suspek yang terbabit jenayah itu mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Menurutnya, dalam serbuan lain, polis menahan dua lelaki berusia 18 dan 21 tahun di Jalan Bunga Raya serta Perumahan PPRT Gong Pasir.

“Hasil tangkapan kedua-dua pemuda itu, polis berjaya menemui semula sebuah motosikal Honda EX5 yang dilaporkan hilang di Kampung Tanah Lot pada 5 Januari lalu,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan lain polis turut menahan seorang lelaki berusia 20 tahun di Kampung Alur Tembesu dan menemui semula motosikal Yamaha 135LC yang dilaporkan hilang pada 4 Januari lalu.

“Ops Lejang yang kita lakukan ini membabitkan seramai dua pegawai dan 12 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dibantu anggota dari Balai Polis Dungun.

“Kita percaya dengan penahanan semua suspek mampu menyelesaikan beberapa lagi kes motosikal yang masih hilang,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 8:27 AM