KEADAAN bersepah di sekitar Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur, selepas peniaga warga asing meninggalkan barang jualan ketika diserbu anggota penguat kuasa DBKL, awal pagi tadi. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


LARI tinggalkan barang jualan. Itu gelagat penjaja warga asing yang berniaga tanpa lesen di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur, ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Dalam operasi bermula 3 hingga 7 pagi tadi, kira-kira 50 penjaja warga Myanmar bertempiaran dan meninggalkan barang jualan sebaik melihat anggota penguat kuasa DBKL membuat pemeriksaan di kawasan terbabit.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL Azman Mahmood berkata, enam anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan rutin di pasar borong terbabit setiap hari ekoran aduan diterima pihaknya yang memaklumkan sekumpulan peniaga asing memonopoli kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan setiap hari mendapati ada di antara penjaja warga asing berkenaan adalah individu sama berniaga di pasar borong itu walaupun barang jualan mereka disita setiap hari oleh anggota penguat kuasa.

“Mereka masih berani bertindak membuka semula gerai beberapa jam kemudian sebaik barang mereka disita kerana tahu kami hanya boleh merampas barang jualan saja tanpa membuat tangkapan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azman berkata, pihaknya menyita barang jualan ditinggalkan penjaja warga Myanmar yang memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dalam pemeriksaan rutin terbabit.

“Antara barang jualan dirampas adalah sayuran, buah-buahan, ikan dan alat penimbang yang ditinggalkan peniaga berkenaan. Tindakan mereka meninggalkan barang jualan begitu saja turut menyebabkan kawasan pasar borong itu bersepah.

“Anggota bertugas terpaksa membantu membersihkan kawasan itu bagi membolehkan orang awam dan peniaga pasar borong beroperasi seperti biasa,” katanya yang memaklumkan semua barang jualan yang dirampas dibawa ke stor sitaan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 4:34 PM