Nur Saliawati Salberi


POLIS menahan seorang lelaki awal pagi semalam kerana mencuri beg tangan jemaah wanita yang sedang solat Isyak di sebuah masjid di Bukit Baru, Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan jam 2.30 pagi di sebuah rumah di Bukit Lintang selepas dia mencuri beg wanita berusia 38 tahun pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai juru ukur bahan sedang menunaikan solat Isyak di masjid.

“Bagaimanapun, ketika berada di sujud terakhir mangsa berasa kepalanya disentuh.

“Terkejut dia kemudian terbangun lalu melihat suspek mengambil beg tangan miliknya lalu melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Afzanizar berkata, mangsa cuba mengejar suspek hingga ke pagar masjid, sebelum dibantu seorang lelaki yang menyedari kejadian itu, namun tidak berjaya.

“Suspek dikatakan melarikan diri dengan sebuah Perodua Kancil.

“Bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan dan polis turut menemui semula barangan milik mangsa,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah dan tiga berkaitan dadah.

“Suspek kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 6:02 PM