ANGGOTA bomba menarik mayat mangsa (gambar kecil) yang ditemui lemas di tasik di Eco Ardence, Setia Alam, Shah Alam, hari ini. FOTO Ihsan JBPM dan Pembaca
Iskandar Shah Mohamed dan Siraj Mohd Zaini
cnews@nstp.com.my


HASRAT pemain bola sepak amatur mengambil bola yang terjatuh ke dalam tasik di Eco Ardence, Setia Alam, Shah Alam berakhir tragedi memilukan apabila ditemui lemas, hari ini.

Mayat mangsa, Khairul Anuar Hashim, 26, yang juga pemain kelab Sarban FC dijumpai anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada 2.35 pagi.

Tasik yang dijadikan kawasan rekreasi penduduk sekitar itu berada berdekatan padang, dan pasukan disertai mangsa sedang mengadakan perlawanan persahabatan.

Rakan Allahyarham yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, Khairul Anuar dikatakan secara sukarela ingin turun ke dalam tasik untuk mengambil bola yang berada pada jarak hampir 20 meter dari tebing.

“Arwah dipercayai terus terjun ke dalam tasik berkenaan dan berada sangat hampir dengan bola itu sebelum dia secara tiba-tiba tenggelam.

“Pada waktu itu, dia yang memakai jersi merah terjun bersama but bolanya.

“Saya melihat dia seperti tiada masalah dan berenang dengan baik pada awalnya, namun tidak sempat memegang bola itu lalu hilang daripada pandangan," katanya ketika ditemui NSTP di lokasi kejadian.

Kejadian itu mencetuskan panik kepada pengunjung dan rakan-rakan mangsa yang menjerit dan cuba memberikan pertolongan, namun keadaan tasik yang sedikit gelap menyukarkan mereka untuk menyelamatkannya.

Sementara itu, abang mangsa, Mohd Hakimi, 30, pula berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada rakan anak kelima daripada enam beradik itu, kira-kira jam 11 malam.

“Pada waktu itu, saya berada di Kem Paya Jaras (Markas Angkatan Tentera Malaysia) dan terkejut dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Adik saya yang masih bujang menuntut secara separuh masa dalam jurusan pentadbiran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan kami berasal dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.11 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Kota Anggerik dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat disertai seramai 35 anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mengesan mangsa.

“Anggota PPDA kemudian menemui mangsa di dasar tasik pada kedalaman kira-kira tiga meter, dan jarak mangsa dari tebing hampir 15 meter.

“Kesukaran misi menyelamat adalah cuaca agak gelap dan dasar tasik itu berselut, namun mangsa berjaya juga ditemui,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Lemas ambil bola dalam tasik

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 9:03 AM